top of page

Tempat Menarik

Menara Telekom

 

Menara Telekom atau lebih dikenali sebagai Menara Alor Setar berdiri megah di bandar Alor Setar merupakan menara yang ke-19 tertinggi di dunia. Pembinaannya melibatkan kos sebanyak RM40 juta dengan ketinggian 165.5 meter dan berperanan sebagai menara telekomunikasi bagi kawasan utara Malaysia yang mana menjadi tarikan utama pelancong di Kedah. Mercu tanda di dalam bandar Alor Setar ini direka mengikut citarasa tradisional dan moden. Strukturnya berlandaskan ciri-ciri tradisional rumpun padi yang mempunyai fungsi dan keindahan yang tersendiri. Tiang seri merupakan bahagian tengah yang paling kukuh dipacakkan ke atas bumi supaya ia mampu menahan hentakan daripada tiupan angin dan juga unsur-unsur alam yang lain, juga sebagai lambang keteguhan rakyat Kedah. Serambi menara pula merupakan bahagian menara yang membolehkan para pelawat menikmati panorama daripada puncaknya.

 

Rumah Kelahiran Tun Mahathir

 

Di teratak kayu inilah, lahirnya seorang pemimpin bertaraf dunia, YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dilahirkan pada 20 Disember 1925. Rumah ini telah dibeli oleh Mohamad Iskandar daripada seorang penjual yang pada masa itu hendak mengahwinkan anaknya. Rumah ini telah dibina pada tahun 1900. Ketika dibeli dahulu, ianya cuma mempunyai satu bilik sahaja dan tidak berelektrik. Berlantaikan papan dan bahagian anjung bersilingkan kain putih. Tun Dr. Mahathir telah tinggal di rumah ini sehingga berkahwin dan berpindah ke rumahnya sendiri di Titi Gajah. Kini rumah tersebut menjadi mercu tanda bagi penduduk Negeri Kedah agar ianya dapat dijadikan sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

 

Pekan Rabu

 

Pekan Rabu mempunyai sejarahnya yang tersendiri dalam usaha menggalakkan penyertaan Bumiputera bergiat di dalam bidang perniagaan. Kegiatan perniagaan di Pekan Rabu telah bermula sejak selepas Perang Dunia Pertama atas inisiatif YTM Almarhum Tunku Yaacob, seorang Putera DiRaja Kedah supaya orang Melayu dapat terus menjalankan perniagaan di dalam bandar. Kini Pekan Rabu merupakan lambang kegiatan utama ekonomi orang Melayu di dunia perniagaan.

Balai Seni Negeri

Bangunan ini asalnya dibina khusus untuk Mahkamah Besar pada tahun 1912 yang dirasmikan oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada tahun 1923. Pada 25 Julai 1983, bangunan ini telah diisytiharkan sebagai Balai Seni Negeri yang menempatkan hasil karya dan koleksi seni yang terdapat di Negeri Kedah Darul Aman. Kini Balai Seni Negeri ini merupakan sebuah lagi mercu tanda yang sering dilawati bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga oleh pelancong-pelancong asing.

 

 

Muzium Negeri

 

Muzium Negeri Kedah yang menempatkan pelbagai bahan yang memaparkan sejarah negeri Kedah ini telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Tunku Ismail Tunku Yahya, Menteri Besar Kedah pada 3 Februari 1957. Muzium tersebut telah dipindahkan ke Jalan Bakar Bata pada tahun 1961. Kini, Muzium Negeri sekali lagi akan berubah wajah apabila bangunan baru akan diduduki sedikit masa lagi. Bangunan baru ini terletak bersebelahan dengan bangunan yang sedia ada di mana perletakan batu asasnya telah disempurnakan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah pada 3 Februari 1993 bersamaan 11 Syaaban 1413.

Muzium Negeri merupakan sebuah lagi mercu tanda di daerah Kota Setar yang banyak menyimpan segala khazanah serta kenangan sejarah bagi Negeri Kedah Darul Aman.

 

Masjid Zahir

 

Masjid Zahir dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 15 Oktober 1912. Masjid ini mempunyai empat bentuk kubah. Pembinaan pintu gerbang yang juga mengekalkan bentuk "arah". Ini mewujudkan satu suasana yang lebih harmoni. Masjid Zahir merupakan sebuah mercu tanda bagi daerah Kota Setar yang melambangkan perpaduan dan keutuhan Islam.

 

Kompleks Yayasan Al-Bukhari

 

Kompleks Yayasan Al-Bukhari merupakan mercu tanda yang terbaru dapat dilihat di daerah Kota Setar. Kompleks ini telah di bina di atas tapak seluas 11.6 hektar dilengkapi 2 komponen utama iaitu dataran yang menempatkan kemudahan seperti bilik kuliah, perpustakaan, masjid dan sebagainya.

Keindahan kompleks ini lebih terserlah pada waktu malam apabila dilimpahi lampu limpah. Keunikan kompleks ini dapat dilihat melalui kubah yang berwarna kebiru-biruan yang lebih mirip seperti kubah yang terdapat di Timur Tengah.

 

 

Rumah Tradisional Rumah Tok Su Dan Rumah Seri Banai

 

 Kedah kaya dengan struktur unik seperti ini termasuk rumah tradisional Melayu yang berdindingkan kayu meranti atau temak dan beratapkan rumbia seperti di Kampung Warisan di sini. Terletak berhadapan dengan Wisma Pentadbiran Negeri (Wisma Darul Aman),  kampung itu menempatkan Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai yang menjadi lambang keunikan serta keaslian seni bina tradisional Melayu. Kedua-dua rumah ini dipercayai berusia lebih 80 tahun.

 

 

Muzium Padi

 

Muzium Padi terletak di Gunung Keriang, 8km dari Bandaraya Alor Setar. Telah dibuka dengan rasminya oleh KDYMM Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah, pada 12 Oktober 2004, bersamaan 27 Syaaban 1425. Bangunan yang berbentuk gemai padi ini mempunyai sebuah bangunan induk dan enam buah bangunan sampingan di sekelilingnya. Muzium yang berlatar belakangkan Gunung Keriang ini kelihatan seperti berada di tengah-tengah hamparan hijau, jika anda berkunjung pada musim menanam dan dalam hamparan keemasan pada musim padi masak. Tujuan utama muzium ini dibina ialah bagi mewujudkan sebuah muzium yang unggul untuk mempamerkan bahan-bahan berkaitan padi yang melibatkan budaya, penyelidikan dan pembangunan serta perkembangan teknologi padi. Keluasan keseluruhan Muzium Padi ini ialah 12,000 meter persegi dan mempunyai tiga aras.

 

Tanjung Chali

 

Sejak awal tahun 1920an, Tanjung Chali yang terletak di persimpangan antara Jalan Pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal di bandar Alor Setar, pernah menjadi medan untuk petani dari daerah pendalaman di sekitar bandar itu memasarkan hasil pertanian. Tanjung Chali merupakan sebuah tapak bagi melatih orang-orang Melayu di dalam bidang perniagaan. Peringkat awalnya perniagaan di Tanjung Chali itu diselenggarakan oleh ahli-ahli jawatankuasa terdiri daripada 7 orang. Mereka dipilih dari orang-orang yang berpengaruh. Biasanya Penghulu dipilih kerana ia merupakan orang yang berpengaruh dan dihormati oleh orang-orang kampung pada masa itu. Selain daripada berperanan sebagai sebuah pusat bagi melatih orang-orang Melayu dalam bidang perniagaan, Tanjung Chali juga merupakan sebuah pangkalan atau pelabuhan bagi persinggahan kapal-kapal, perahu-perahu dan tongkang-tongkang yang keluar masuk dari luar dan dalam negeri melalui Sungai Kedah, Sungai Anak Bukit, Terusan Wan Mohamad Saman dan Sungai Raja. Kapal-kapal atau perahu yang keluar masuk itu singgah di situ untuk memunggah barang-barang dagangan.

 

Pusat Sains

 

Lokasinya terletak di Gunung Keriang kira-kira 8 km dari bandar Alor Setar dan bersebelahan dengan Muzium Padi. Pusat sains ini mempamerkan kepada orang ramai berkenaan dengan sains, teknologi dan inovasi terbaru. Dibuka setiap hari bermula pukul 9.00 pagi sehingga 5.00 petang dan masuk adalah percuma.

 

 

 

Gunung Keriang

 

Gunung keriang berada kira - kira 8km dari bandar Alor Setar. Gunung Keriang mempunyai ketinggian sebanyak 714 kaki. Terdapat pelbagai kemudahan seperti taman permainan , tasik buatan manusia dan juga tangga pendakian ke Gunung Keriang. Kemudahan seperti tempat meletak kenderaan,  tandas awam dan taman permainan ada disediakan di sini. Ia juga sesuai sekiranya kita datang untuk bersenam. Di pekarangan kaki gunung terdapat gerai - gerai yang menjual hasil mineral Gunung Keriang iaitu batu bunga. Batu-batu bunga ini sesuai untuk dijadikan perhiasan, cenderamata atau alat perhiasan diri seperti gelang tanggan. Ada mitos menyatakan bahawa asal usul gunung keriang ini adalah sebuah kapal yang disumpah oleh sang gelembai menjadi batu, berpunca dari rasa tidak puas hatinya apabila hajat untuk mengahwini puteri yang berada didalam kapal tersebut tidak diterima. Di bahagian dalam gua ini pernah mempunyai peralatan dapur seperti pinggan mangkuk. Ketika zaman dahulu kebanyakkan penduduk setempat sering meminjam pinggan untuk kegunaan semasa kenduri. Kehilangan dan kerosakan pinggan mangkuk yang tidak diganti oleh peminjam menyebabkan lenyaplah semua pinggan mangkuk tersebut.  Sekarang hanya yang tinggal adalah sebuah mitos berkenaan keistemewaan gunung keriang. Tidak jauh dari gunung keriang terdapat banyak lagi tempat menarik untuk dikunjungi seperti muzium padi, pusat renang akuatik, perkampungan tradisional masyarakat petani dan pusat sains negeri kedah.

KASTEL KEDAH 2014

Tingkat 5, Kompleks TM, Jalan Kolam Air, 05672 Alor Setar, Kedah Darul Aman.

TEL: 04-720 2520 / 04-733 5116   FAX: 04-733 9090   EMAIL: kastelkedah@gmail.com

Follow us on :
  • Facebook App Icon
  • Twitter App Icon
bottom of page